Monday, February 22, 2010

CARNIVALE FACT

Seluruh warga FACT dijemput menyertai Carnivale FACT yang akan diadakan di sekitar fakulti pada 26 hingga 28 Februari ini. Pelbagai pertandingan menarik disusun khas untuk warga FACT. Antaranya Battle of The Band, futsal dan banyak lagi. Penyertaan anda amat dialu-alukan bagi memeriahkan suasana karnival. Untuk keterangan lanjut, anda boleh semak di banner dan iklan yang telah ditampal sekitar fakulti, kolej dan Fakulti Pengurusan Maklumat. Ini merupakan acara anjuran bersama CASA, FACT dan Kolej Puncak Perdana sebelum CASA dibuburkan secara rasmi.

Saturday, February 6, 2010

Pemimpin @ Dipimpin

Berlalu sudah proses pilihanraya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Sesi 2010. Ini bermakna, tugasan kami sebagai Majlis Tertinggi CASA akan berakhir dimana CASA akan kembali semula dibawah kuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru. Orang baru, gaya baru, perubahan baru. Untuk berada dibawah MPP, CASA seperti 'lembu dicucuk hidung'. Sukar membuat sebarang aktiviti apabila tidak mendapat sokongan MPP. Contohnya peristiwa yang berlaku semester lalu. Adakalanya, menjadi pemimpin seperti boneka yang diperlukan sebagai syarat sesebuah kesatuan itu. Bukan menyindir sesiapa tetapi hanya mahu mengingatkan supaya pentadbiran lebih telus dan mesra perlu diutamakan sebagai pemimpin atau ketua.

Kenali pelajar-pelajar, kenali dulu staf di fakulti dan kolej, kenali dahulu kehendak dan keperluan pelajar dan cuba bantu pelajar yang mempunyai masalah. Apalah salahnya jika pemimpin menyapa dan menegur orang yang dipimpin. Tidaklah timbul pelbagai reaksi negatif mengenai pemimpin itu. Pemimpin juga perlu berani bersuara memperjuangkan hak pelajar. Jangan hanya mahu dipimpin. Jangan sesekali keluarkan alasan takut, sibuk dan sebagainya kerana tidak mahu membantu pelajar yang kesusahan. Andai pemimpin tidak memperjuangkan hak pelajar, siapa lagi yang ingin membantu? pensyarah? Sepatutnya pemimpin yang perlu berusaha lebih bagi mencapai sesuatu kejayaan dalam pentadbirannya. Janganlah jadi kera sumbang. Anda punya suara yang kuat. Jangan nanti pelajar yang tiada sebarang jawatan membawa masalah pelajar lain ke pihak atasan. Masa itu, jangan salahkan sesiapa. Salah diri sendiri apabila anda sendiri tidak mahu berusaha membantu pelajar.

Masalah birokrasi perlu anda suarakan. Lihat kepada keputusan peperiksaan lalu. Lebih 10 orang pelajar FACT yang gagal menamatkan pengajian kerana masalah sistem dan birokrasi. Mereka bagaikan bola yang disepak ke sana ke mari untuk menyelesaikan masalah mereka. Siapa lagi mahu membantu mereka? Tepuk dada, tanya selera. Bukan terbatuk kerana sesak dengan masalah pelajar. Apa-apa pun selamat maju jaya kepada MPP dan SMF baru. CASA mengucapakan tahniah berharap anda menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin.

Wednesday, January 27, 2010

Pancing dan Pangkah

Setiap sistem pemerintahan, perlu diterajui ketua. Ini hakikat. Sesetengah sistem memilih ketua dengan cara undi. Ini boleh dikatakan proses demokrasi. Begitu juga dalam sistem pemerintahan pelajar, ketua akan dipilih melalui proses pengundian. Maka memancing undi adalah wajib bagi calon-calon pilihan raya ini. Namun masalah di sini, sejak dari dahulu, teknik memancing undi pelajar tidak yang menarik untuk dibicarakan, terutama calon-calon pemimpin di alma mater saya. Boleh dikatakan, tempat pengajian saya ini adalah sekolah seni, maka seharusnya kreatif. Kempen yang dilakukan mestilah seperti pemikiran calon tersebut.

Jika saya mencalonkan diri, saya takkan menghabiskan masa dan wang mencetak gambar sendiri beratus-ratus dan menggantungnya di serata tempat. Kalau kacak, bergaya dan seksi lainlah. Semua itu cara lama, cara mak bapak kita dulu-dulu. Ortodoks, tak terbuka dan sempit dan sudah tidak praktis. Cuba fikir luar sikit. Buat satu video korporat tentang diri sendiri (walaupun propaganda dan syok sendiri) dan tayangkan dengan projektor (terutama pelajar filem). Sekurang-kurangnya, kebolehan ,kesungguhan (dan kebodohan) saya akan terserlah. Namun sekurang-kurangnya, saya cuba pendekatan artistik.

Selain itu, bagi setiap proses memancing undi, manifesto setiap calon harus dilaungkan. Tidak kisahlah dengan cara apa sekalipun. Karl Marx pada 162 tahun yang lalu pun sudah memikirkan tentang menzahirkan manifestonya dalam bentuk buku. Hitler, pada zaman muda melaungkan suaranya dengan berkesan,cuma di kedai minum. Saya bukan bercakap tentang Marx dan Hitler sebagai pemimpin hebat, namun dari segi orang biasa yang punya semangat dan idea. Ini belum termasuk gerakan mahasiswa di negara jiran lagi. Namun hal-hal ini tidak nampak pada proses pilihanraya di tempat saya,khusunya. Dan saya tidak pasti apakah sebabnya. Adakah calon-calon pemimpin pelajar ini tumpul pemikirannya. Dan yang menariknya, calon-calon ini boleh dipersoalkan tentang kepimpinannya, kerana mereka tiba-tiba muncul entah dari mana (sebelum ini tak nampak di mana-mana majlis ilmu untuk berkongsi idea) dan mencalonkan diri untuk menjadi pemimpin.

Saya masih bingung dengan pemimpin sebelum ini, dan sekarang kabur dengan pemimpin akan datang. Kadangkala terlihat mereka berkhidmat untuk pihak atasan, di mana kata-kata oleh V dalam filem V for vendetta- "People should not be afraid of their governments. Governments should be afraid of their people" akan disangkal oleh mereka.

Kerana hal inilah, saya tak hairan, sebelum majlis tayangan filem Karaoke semalam, ada calon yang cuba memancing undi dengan gula-gula di dalam bilik tayangan. Dan apabila filem diputarkan, mereka (calon dan jentera) sibuk berbual,bermain es-em-es dan tidur. Dan pada pagi ini mengganggu pegumuman-pengumuman tak sudah. Jika saya mengundi, apa erti undi saya? Adakah undi saya berharga beberapa butir gula-gula dan air kotak? Ataupun saya mengundi supaya mereka boleh mencapap?

p/s : saya tak sangka, kali ini undi dilakukan secara online.

Sunday, January 24, 2010

PENGUMUMAN...PENGUMUMAN

Warga FACT yang dikasihi, disini terdapat satu peringatan penting khas untuk anda. Ia adalah berhubung penggunaan PA system di pejabat Kolej Puncak Perdana. CASA mendapat banyak aduan dari pensyarah dan pelajar berhubung gangguan pengumuman menggunakan alat tersebut.

Justeru itu, pelajar dinasihatkan menggunakan peralatan tersebut sebaik mungkin kerana ia sebenarnya mengganggu ketenteraman penduduk dan pelajar di Puncak Perdana. Malam tadi, seorang wakil persatuan 'Hadhari' di sini membuat pengumuman ketika jemaah di surau bersebelahan pejabat kolej sedang menunaikan solat Isyak.

Hendak dikatakan pelajar itu tidak mendengar suara imam membaca ayat suci Al-Quran semasa menunaikan solat adalah mengarut. Sesiapa pun tahu jemaah sedang menunaikan solat. Bukankah ianya mengganggu 'kekhusyukan' jemaah menunaikan solat? Walhal pengumuman itu adalah untuk perkara yang kurang penting dan andai penting sekalipun, tidak bolehkah mereka tunggu sehingga jemaah selesai menunaikan solat?

Ada hadis yang mengatakan terdapat 10 perkara melambatkan seseoran itu masuk ke syurga dan salah satu daripadanya adalah mengganggu hak jiran. Jadi, fikir-fikirkanlah sendiri. Ada sesetengah pihak pengurusan ini apabila ditegur, mereka melenting. Tidak mahu mendengar nasihat pelajar malah memandang rendah terhadap pelajar. Sepatutnya, kita sebagai warga UiTM berfikiran terbuka menerima pandangan orang untuk menjadi yang terbaik.

Thursday, January 21, 2010

PERGINYA SEORANG ANAK SENI

Petang kelmarin, berakhirnya hayat bekas pensyarah FACT, Dr. Anuar Nor Arai, 66. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Selangor, Shah Alam. Dikhabarkan, punca kematian beliau adalah kerana kompilasi pada paru-paru. Jenazah Allahyarham telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam selepas solat Zohor tadi. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak termasuk seorang yang bekerja di New Zealand.

Menyorot kembali penglibatan Dr. Anuar Nor Arai, beliau mencipta sejarah menjadi anak Melayu dan Malaysia pertama memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Carlifornia Los Angeles. Pensyarah yang banyak menabur jasa di FACT ini pernah menghasilkan filem terpanjang di negara kita iaitu Johnny Bikin Filem serta teater bertajuk Ronggeng Rokiah. Pemergian Allahyarham diratapi seluruh peminat seni tanahair. AL-FATIHAH!