Wednesday, January 27, 2010

Pancing dan Pangkah

Setiap sistem pemerintahan, perlu diterajui ketua. Ini hakikat. Sesetengah sistem memilih ketua dengan cara undi. Ini boleh dikatakan proses demokrasi. Begitu juga dalam sistem pemerintahan pelajar, ketua akan dipilih melalui proses pengundian. Maka memancing undi adalah wajib bagi calon-calon pilihan raya ini. Namun masalah di sini, sejak dari dahulu, teknik memancing undi pelajar tidak yang menarik untuk dibicarakan, terutama calon-calon pemimpin di alma mater saya. Boleh dikatakan, tempat pengajian saya ini adalah sekolah seni, maka seharusnya kreatif. Kempen yang dilakukan mestilah seperti pemikiran calon tersebut.

Jika saya mencalonkan diri, saya takkan menghabiskan masa dan wang mencetak gambar sendiri beratus-ratus dan menggantungnya di serata tempat. Kalau kacak, bergaya dan seksi lainlah. Semua itu cara lama, cara mak bapak kita dulu-dulu. Ortodoks, tak terbuka dan sempit dan sudah tidak praktis. Cuba fikir luar sikit. Buat satu video korporat tentang diri sendiri (walaupun propaganda dan syok sendiri) dan tayangkan dengan projektor (terutama pelajar filem). Sekurang-kurangnya, kebolehan ,kesungguhan (dan kebodohan) saya akan terserlah. Namun sekurang-kurangnya, saya cuba pendekatan artistik.

Selain itu, bagi setiap proses memancing undi, manifesto setiap calon harus dilaungkan. Tidak kisahlah dengan cara apa sekalipun. Karl Marx pada 162 tahun yang lalu pun sudah memikirkan tentang menzahirkan manifestonya dalam bentuk buku. Hitler, pada zaman muda melaungkan suaranya dengan berkesan,cuma di kedai minum. Saya bukan bercakap tentang Marx dan Hitler sebagai pemimpin hebat, namun dari segi orang biasa yang punya semangat dan idea. Ini belum termasuk gerakan mahasiswa di negara jiran lagi. Namun hal-hal ini tidak nampak pada proses pilihanraya di tempat saya,khusunya. Dan saya tidak pasti apakah sebabnya. Adakah calon-calon pemimpin pelajar ini tumpul pemikirannya. Dan yang menariknya, calon-calon ini boleh dipersoalkan tentang kepimpinannya, kerana mereka tiba-tiba muncul entah dari mana (sebelum ini tak nampak di mana-mana majlis ilmu untuk berkongsi idea) dan mencalonkan diri untuk menjadi pemimpin.

Saya masih bingung dengan pemimpin sebelum ini, dan sekarang kabur dengan pemimpin akan datang. Kadangkala terlihat mereka berkhidmat untuk pihak atasan, di mana kata-kata oleh V dalam filem V for vendetta- "People should not be afraid of their governments. Governments should be afraid of their people" akan disangkal oleh mereka.

Kerana hal inilah, saya tak hairan, sebelum majlis tayangan filem Karaoke semalam, ada calon yang cuba memancing undi dengan gula-gula di dalam bilik tayangan. Dan apabila filem diputarkan, mereka (calon dan jentera) sibuk berbual,bermain es-em-es dan tidur. Dan pada pagi ini mengganggu pegumuman-pengumuman tak sudah. Jika saya mengundi, apa erti undi saya? Adakah undi saya berharga beberapa butir gula-gula dan air kotak? Ataupun saya mengundi supaya mereka boleh mencapap?

p/s : saya tak sangka, kali ini undi dilakukan secara online.

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. apasal semua dah tulis remove?
    alahai....

    ReplyDelete